Persandingan di alam fantasi -Fouziah Gous & Md Zhafran Md Yusof .
Persandingan di alam fantasi
Hiasan berkonsep Inggeris oleh perunding perkahwinan, Nas Great Idea membuatkan majlis persandingan pelakon jelita, Fouziah Gous, 30, dengan Md Zhafran Md Yusof, 30, di sebuah hotel terkemuka di Putrajaya, malam kelmarin seperti di alam fantasi.
Pentas utama yang menempatkan pelamin kelihatan gah dengan set rekaan pelbagai corak imej unik yang disulami bunga-bungaan berwarna peach. Tambah menarik apabila ‘terowong’ panjang yang dihiasi juraian bunga dibina di tengah-tengah ruang yang menempatkan tetamu.
Menjelang jam 9 malam, pasangan ini mula memasuki dewan. Sebaik bersatu di atas pelamin, bacaan doa diadakan sebagai memberkati pasangan mempelai disusuli persembahan silat yang turut dijayakan oleh seorang lelaki Inggeris.
Sepanjang majlis berlangsung, pasangan mempelai dan tetamu dihiburkan dengan persembahan daripada band D Putra, Irfan dan penyanyi cilik, Arisa yang juga anak saudara Fouziah. Tidak ketinggalan membuat persembahan, Yuka dari Indonesia dan Nash Lefthanded. Faizal Ismail dan Leeya dari pada Hot FM pula bertindak selaku pengacara majlis.
Majlis berkenaan turut dihadiri rakan artis seperti Rosyam Nor, Iqram Dinzly, Kamal Adli, Dafi, Anzalna, Syafie Naswip dan Dynas. Tidak ketinggalan, barisan pengarah terkenal antaranya Rashid Sibir dan Aziz M Osman.
Fouziah ketika ditemui berkata, dia lega dan gembira kerana majlis yang dirancangkannya berjalan lancar, lebih-lebih lagi tema yang ditampilkan daripada ideanya sendiri.
“Untuk hias lebih-lebih lagi memang tiada masa sangat. Apapun saya gembira kerana jumlah yang hadir malam ini hampir 1,000 orang. Banyak lagi tetamu sebenarnya nak dijemput, tapi saya tak dapat selitkan kerana keadaan tempat tak mengizinkan. Ini juga antara punca tema konsep yang diinginkan saya terpaksa hadkan.
“Lebih penting matlamat saya untuk meraikan tetamu terutama mereka yang banyak bekerjasama dengan saya ketika awal kemunculan dalam bidang seni akhirnya tercapai. Bagaimanapun, saya kena juga berkompromi dengan Zhafran kerana dia juga ada tetamu sendiri,” katanya.
Pada majlis itu, Fouziah mengenakan gaun pengantin berwarna pink peach manakala Zhafran dengan sut berwarna kelabu.
Fouziah berkata, konsep majlis ini juga dibuat bagi menunjukkan karakter sebenarnya kepada suami tercinta.
Fouziah mahu ‘rasa’ perkahwinan itu terbit dalam dirinya kerana dia bukan bergaya di karpet merah seperti kebiasaan yang dilakukannya.
“Ini majlis perkahwinan. Untuk itu saya sanggup keluarkan kos sendiri untuk beli kain yang dijadikan pakaian saya malam ini. Majlis malam ini juga dilalui dengan perasaan tenang kerana matlamatnya untuk meraikan kawan-kawan,” katanya.
Fouziah yang masih bercuti daripada aktiviti seni belum boleh menarik nafas lega kerana majlis menyambut menantu di sebelah keluarga suaminya pula berlangsung di Bukit Jelutong, Sabtu ini. Kali ini cabarannya kerana dilangsungkan bermula tengah hari sehingga malam. Konsep yang ditampilkan pula ialah tradisional songket.
“Lakonan terakhir saya sebelum berkahwin ialah menerusi drama Alamaya. Selepas semuanya selesai nanti baru saya fikir untuk menerima tawaran berlakon semula. Setakat ini pengurus saya (Noza Mohamad) pun tak ganggu saya dengan ‘job’ terbaru.
“Bagaimanapun, saya pun tak berniat nak berehat terlalu lama. Saya nak selesaikan urusan perkahwinan terlebih dulu sebelum aktif semula berlakon,” katanya.
Menjelaskan pengalaman yang dilalui selepas seminggu bergelar isteri, Fouziah mengakui perasaannya masih kekok. Tambah lagi selama ini dia begitu rapat dengan ibunya.
“Bayangkan selama 30 tahun bersama emak, tiba-tiba sekarang saya tinggal berasingan. Kalau nak tahu, pakaian saya masih ada di rumah emak dan hari-hari saya beritahu suami nak ambil pakaian di sana, sedangkan niat saya hanya untuk jumpa emak.
“Sebenarnya banyak benda yang saya dan Zhafran tak dalami lagi dalam rumah tangga. Kami kena lalui pelbagai perkara lagi. Saya juga belum sempat memasak untuk suami. Sebagai isteri saya tahu tanggungjawab yang perlu digalas. Insya-Allah selepas berakhirnya majlis di sebelah keluarga Zhafran, saya akan memasak untuknya. Sekarang kami masing-masing sibuk,” katanya.
Pasangan ini melangsungkan pernikahan di Masjid Tengku Ampuan Jemaah Bukit Jelutong, Shah Alam, Sabtu lalu.
0 comments:
Post a Comment