Johan As’ari Komen Adegan Panas!!!


Pelakon Johan As’ari mengakui berasa bimbang andai babak panas yang dilakonkan bersama pelakon, Aishah Ilias dalam filem terbitan Nusantara Seni Karya, ‘Paku’ akan disalah erti oleh penonton apabila ia ditayangkan pada 12 Disember hadapan. Walaupun perasaan bimbang menyelubungi diri, namun Johan mengakui berasa teruja menantikan filem arahan P. Ramesh ini.
“Saya begitu teruja untuk berlakon dalam filem ini kerana ia merupakan filem seram pertama saya. Saya dapat tahu kena melakonkan babak panas apabila mula-mula dapat skrip filem ini. Saya percaya babak panas tersebut bukan untuk melariskan filem tetapi ia diperlukan sebagai sebahagian daripada mesej filem ini,” jelas Johan ketika ditemui pada majlis tayangan trailer filem tersebut di TGV One Utama, baru-baru ini.
 “Sebagai pelakon, saya akui agak bimbang. Bukan takut dihentam, cuma saya takut adegan tersebut akan disalah ertikan. Saya juga bimbang kerana di Malaysia apabila sentuh mengenai babak panas atau ghairah, ia pasti akan menjadi isu. 
Ingin saya jelaskan di sini bahawa saya berpakaian ketika melakonkan adegan itu dan kebanyakkan aksi panas serta ghairah yang dilakonkan dibantu dengan teknik kamera. Saya perlu menjelaskan perkara ini kerana saya tidak mahu perkara ini menjadi fitnah kelak. Lagipun saya perlu menjaga hati semua orang dan yang penting, saya perlu jaga sentimen masyarakat Melayu,” ujar Johan.
Ahli Jawatankuasa DUN Bahagian Bukit Katil
Pelakon drama ‘Juvana’ ini mengenai pencalonan bapanya, Datuk Haji As’ari bin Ibrahim sebagai Timbalan Ketua Pengarah UMNO Bahagian Bukit Katil, Melaka. Sebagai anak, Johan yakin dengan kredibiliti bapanya dan menganggap bapanya itu sebagai seorang pejuang bangsa. Ditanya sama ada Johan akan mengikut jejak bapanya dalam bidang politik, ini jawapannya.
“Saya sendiri memang sudah menjadi Ahli Jawatankuasa Dewan Undangan Negeri Bahagian Bukit Kecil, Paya Dalam, Melaka. Saya tak sangka orang akan pilih saya dan buat masa ini, tanggungjawab saya untuk bahagian ini lebih kepada aktiviti sukan. 
Saya memang minat politik tapi saya tidak boleh melupakan kerjaya seni. Saya suka dan tetap dengan pendirian untuk menjadi anak seni. Bagi saya, untuk menjadi ikon dan contoh yang baik kepada masyarakat sekeliling tidak semestinya perlu menjadi ahli politik untuk memiliki kuasa kerana kita juga boleh menjadi ikon kepada masyarakat walaupun hanya bergelar seorang artis,” ujarnya mengakhiri perbualan.

0 comments:

Post a Comment