Tiga maut, bas ekspres rempuh lori


KULAIJAYA – Perjalanan 20 penumpang sebuah bas ekspres dari Pulau Pinang ke Johor Bahru dicemari insiden berdarah apabila dua daripadanya maut manakala 13 lagi cedera selepas kenderaan tersebut terlibat dalam kemalangan di Kilometer 45.9 Lebuh Raya Utara-Selatan di sini semalam.
Kejadian pukul 5.50 pagi itu mengorbankan pemandu bas R. Shashi Kumar, 23, dari Taman Bemban Utama, Melaka dan penumpang, Edi Setiono, 41, dari Tanjung Sengkuang, Batu Ampar, Indonesia apabila kedua-duanya cedera parah di kepala.
Kemalangan berlaku apabila bas tersebut merempuh belakang sebuah lori yang membawa muatan kayu dipandu A. Majid Sadar Mohd., 59.
Bagaimanapun, Majid dari Taman Desa Permai, Gemas, Negeri Sembilan disahkan meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Temenggong Sri Maharaja Tun Ibrahim di sini akibat diserang penyakit jantung ekoran terkejut dengan kemalangan tersebut.
Ketua Polis Daerah Kulaijaya, Superintendan Zulkefly Yahya berkata, kemalangan berlaku apabila pemandu bas gagal mengawal kenderaan itu lalu merempuh belakang lori yang berada di lorong kiri.
Katanya, bas tersebut membawa 20 penumpang menuju ke Johor Bahru dari Pulau Pinang.
“Di tengah perjalanan, bas itu berhenti di Hentian Pudu Sentral, Kuala Lumpur untuk mengambil penumpang,” katanya yang menyiasat kes itu mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

0 comments:

Post a Comment