“Tahniah kepada Shahrizal yang kini diterima semula keluarga tunangnya (Redzwani Puteri)-Farah Nurizzati Salleh



Kuala Lumpur: “Tahniah kepada Shahrizal yang kini diterima semula keluarga tunangnya (Redzwani Puteri) dan saya berharap dia dapat menjaga hubungan mereka dengan baik dan jangan sampai pisang berbuah dua kali. Saya pun sudah melupakan kisah lalu dan mahu membina hidup baru,” kata Farah Nurizzati Salleh, 21, iaitu gadis yang ditangkap atas dakwaan khalwat dengan pelakon itu pada Mei lalu.
Menurut Farah, apa pun yang berlaku hidup mesti diteruskan. Selepas peristiwa hitam itu, Shahrizal atau lebih dikenali dengan nama Shah Jaszle, menyerang Farah di tempat kerjanya sehingga dia diberhentikan kerja 24 jam. “Selepas dia menyerang saya, kami tidak pernah berhubung atau berjumpa lagi. Namun saya tidak memusuhinya dan sekiranya kami terserempak di mana-mana, Insya-Allah saya akan menegurnya.
“Apa yang berlaku memberi pengajaran kepada saya. Saya juga bersyukur kerana sudah dapat kerja baru. Pada masa sama saya berkawan dengan seseorang yang juga kenalan lama saya yang dikenali sebelum saya berjumpa Shahrizal lagi.
“Saya terharu kerana ada juga yang sudi berkawan dengan saya yang mempunyai kisah silam yang amat pahit. Alhamdulillah dia menerima saya seadanya kerana dia sedar setiap orang buat silap, namun katanya pada saya jangan diulangi lagi kesilapan itu,” katanya.
Jelas Farah lagi, dia dan Shah Jaszle dibicarakan di mahkamah pada 12 November ini dan dia akan mengaku bersalah.
“Tak guna menegakkan benang basah kerana perbuatan kami disaksikan empat orang. Saya tak mahu menyembunyikan apa-apa kerana semua bukti terbentang di depan mata dan lebih baik saya terima hukuman daripada Allah SWT di dunia ini lagi. Sebaik saja kes ini selesai saya mahu mengerjakan umrah,” katanya. Shah Jaszle ditangkap khalwat bersama Farah pada 16 Mei lalu, di sebuah rumah di Pangsapuri Taman Sri Subang oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) jam 3.30 pagi.

0 comments:

Post a Comment