saya yakin Datuk (Hashimuddin) tidak kejam- pelakon Norish Karman




Shah Alam: Selepas empat tahun naik turun mahkamah, akhirnya Mahkamah Tinggi Syariah di sini semalam mengisytiharkan tiga daripada lima kereta mewah yang dituntut pelakon Norish Karman terhadap bekas suaminya, Datuk Hashimuddin Abdul Kadir sebagai harta sepencarian.

Justeru Hakim Syarie Mohammad Adib Husain memutuskan Norish selaku plaintif berhak mendapat 30 peratus daripada nilai ketiga-tiga kereta itu mengikut nilai semasa ketika tuntutan harta sepencarian itu dibuat pada 2009. 

Bagaimanapun, mahkamah menolak tuntutan Norish terhadap tiga rumah termasuk sebuah banglo di Bangi dan pegangan saham di tiga syarikat yang bernilai lebih RM3 juta selepas mendapati tuntutan itu fasik dan rosak mengikut hukum syarak.

Terdahulu dalam penghakimannya, Mohammad Adib berkata, kereta mewah yang diisytiharkan sebagai harta sepencarian ialah Nissan Murano, Nissan Elgrand dan Mercedes CLK manakala dua kereta mewah lain, Ssangyong Stavic dan Toyota Caldina bukan milik mereka kerana sudah dijual.

Manakala bagi tuntutan lain, mahkamah mendapati Norish gagal menyatakan dengan terperinci keterangan mengenai kedudukan lot dan nombor rumah serta tidak mengemukakan hak milik harta bagi kondominium di Danau Permai selain tiada sokongan kewangan mengenai perolehan tanah untuk rumah di Bangi.

“Defendan (Hashimuddin) mengeluarkan duit untuk pembinaan rumah di Bangi manakala plaintif hanya membantu dari segi rekaan dalaman rumah terbabit dan memastikan proses pembinaan rumah berjalan lancar. “Manakala kondominium itu dibeli defendan lima bulan selepas bernikah,” katanya. Sehubungan itu dakwaan plaintif tidak sempurna mengikut hukum syarak berikutan kekurangan fakta malah plaintif hanya menyatakan secara umum mengenai tuntutan itu sedangkan dalam hukum syarak tuntutan hendaklah terperinci untuk mengesahkan dakwaan.

Berhubung pegangan saham bagi tiga syarikat pula, mahkamah mendapati Norish tidak mengemukakan bukti saham itu diperoleh dalam tempoh perkahwinan. “Mahkamah meragui keterangan plaintif yang dalam keterangannya berkata, dia tidak mempunyai sokongan tunai dalam syarikat itu,” katanya. Pada prosiding semalam, Norish diwakili peguam syarie, Datuk Amli Embong hadir pada prosiding itu.

Peguam syarie, Muhamad Burok memberitahu mahkamah anak guamnya dalam perjalanan ke mahkamah, namun sehingga prosiding selesai Hashimuddin tidak kelihatan. Sementara itu, ketika ditemui wartawan di luar mahkamah, Norish berkata, dia reda dengan keputusan itu dan yakin bekas suaminya tidak kejam dan boleh menimbangkan sesuatu untuk dirinya dan anak mereka.

“Tidak timbul isu kalah atau menang dalam kes ini. Saya reda dengan keputusan mahkamah, namun saya yakin Datuk (Hashimuddin) tidak kejam.

“Saya pasti dia beri hak kami,” kata pelakon yang kini popular menerusi drama bersiri Love You Mr Arrogant itu. Ketika ditanya berapa anggaran bagi ketiga-tiga kereta yang menjadi harta sepencarian mereka, Norish berkata, anggaran nilai semasa dibeli bagi ketiga-tiga kereta itu RM1.2 juta. Bekas peserta program realiti masakan, Masterchef Selebriti ke-2 itu juga menjelaskan selepas berpisah, dia menyara sendiri kehidupannya serta tiga anak.

“Datuk ada hulurkan bantuan terutama untuk anak. Tidak semua perkara saya bebankan dia,” jelas Norish. Norish atau nama sebenarnya, Nor’asikin Karman, 37, bernikah dengan Hashimuddin, 65, yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Menanti, Negeri Sembilan pada 11 Januari 1998 di Perlis. Mereka bercerai secara rasmi pada 15 Julai 2008 di Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya dekat sini.

Hasil perkongsian hidup, pasangan itu dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Muhammad Haqiem Amany, 12, Muhammad Hady Amieran, 8, dan Nur Hanyz Amanda, 7.

0 comments:

Post a Comment