Lagi angkara ayam masak merah 36 murid tahun empat Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Tasek dikejarkan ke Hospital!!!
Lagi angkara ayam masak merah
Nibong Tebal: “Tiba-tiba saya berasa sakit perut dan pening sebelum muntah,” kata Nur Arisya Azrin Mohd Nazri, 10.
Nur Arisya antara 36 murid tahun empat Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Tasek, Simpang Ampat, di sini, yang dikejarkan ke Hospital Sungai Bakap (HSB), selepas mengadu sakit perut, pening dan muntah pada jam 9 malam kelmarin.
Menurutnya, apabila kelas tambahan intensif bermula, perutnya memulas dan kepala pening hingga menyebabkannya berpeluh.
“Saya berasa seperti berpusing-pusing dan berlari keluar kelas kerana berasa mahu muntah.
“Saya lihat ada rakan lari ke longkang berhampiran untuk muntah. Ada juga yang menangis dalam kelas,” katanya.
Mereka antara 106 murid sekolah berkenaan yang mengikuti Program Intensif Tahun Empat yang diadakan sebagai persediaan menghadapi peperiksaan akhir tahun pada minggu depan.
Program itu diadakan dari jam 8 pagi hingga 10 malam bermula sejak Isnin lalu dan dijadualkan berakhir hari ini.
Difahamkan, sepanjang berada di sekolah, murid terbabit dibekalkan makanan dan minuman empat kali sehari oleh pihak kantin sekolah.
Ada pelajar mendakwa, mereka mengalami keadaan itu selepas menjamah makan malam nasi berlauk ayam masak merah yang diberikan pada jam 6.30 petang.
Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Seri Mutiara Mohd Nor Hiesam Ismail berkata, menyedari masalah yang dihadapi murid terbabit, pihak sekolah terpaksa mendapatkan bantuan ambulans daripada hospital.
Menurutnya, semua murid terbabit mendapat rawatan di Unit Kecemasan dan pihaknya difahamkan ada di antara mereka terpaksa diambil sampel darah.
“Berikutan kejadian ini, pihak PIBG dan sekolah mengambil keputusan menghentikan program itu serta-merta.
“Pihak kami dan sekolah akan mengadakan siasatan bersama mengenai bekalan makanan yang diberikan kepada murid berdasarkan laporan daripada hospital,” katanya.
Difahamkan, anggota Jabatan Kesihatan Daerah bergegas ke sekolah berkenaan sejurus dimaklumkan mengenai kejadian itu dipercayai untuk mengambil sampel makanan yang disediakan kepada murid berkenaan.
0 comments:
Post a Comment