Anggota kumpulan kongsi gelap yang melarikan diri keluar negara!!!

Jangan ingat boleh terlepas
Georgetown: Anggota kumpulan kongsi gelap yang melarikan diri keluar negara tidak akan terlepas kerana polis turut menjalankan kerjasama dengan polis antarabangsa (Interpol).
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, pihaknya sentiasa memantau pergerakan ahli kumpulan kongsi gelap yang bersembunyi di luar negara dengan bantuan Interpol.
Menurutnya, maklumat mengenai ahli kumpulan kongsi gelap itu sentiasa diperoleh tidak kira sama ada mereka pulang atau tidak.

“Jika mereka ini (anggota kongsi gelap) berada di luar negara, kita tetap akan menahan mereka berlandaskan undang-undang sedia ada dengan kerjasama Interpol.

“Jangan ingat mereka akan terlepas kerana tidak berada di negara ini,” katanya selepas melawat keluarga Allahyarham Sarjan Zal Azri Abdul Somad, 31, di Tingkat Sungai Gelugor, di sini, semalam.

Anggota polis berkenaan maut ketika bertugas di Taman Teknologi Cheng, Melaka, 23 September lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 pagi itu, Zal Azri yang bertugas di Bahagian Risikan Jenayah (D4), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, dilaporkan cedera parah di kepala dipercayai dipukul dengan batu dan mati di tempat kejadian.

Allahyarham dikatakan bergelut ketika dia menahan seorang suspek curi besi buruk dalam satu operasi Op Lejang di kawasan itu.

Mengulas mengenai perkembangan Operasi Cantas Khas (Op Cantas), Ahmad Zahid berkata, selagi jenayah berat tidak dapat dibanteras operasi itu akan dilakukan secara berterusan.

“Tiada sebarang garis penamat dalam Op Cantas ini dan kita akan sentiasa melakukannya bagi membanteras kegiatan jenayah di negara ini,” katanya.

0 comments:

Post a Comment