Tragedi lemas selepas kereta terjunam ke dalam Sungai Krian!!!
Terus ‘jalan’ masuk sungai
Saratok: Kegembiraan dua sahabat menyaksikan satu pesta di sini, berakhir tragedi apabila seorang daripada mereka dikhuatiri lemas selepas kereta dipandu terjunam ke dalam Sungai Krian, berhampiran Pangkalan Feri Kaba, di sini, pagi semalam.
Dalam kejadian jam 2 pagi itu, Mohd Munir Yusof, 24, dari Pendang, Kedah, hilang dibawa arus ketika cuba berenang menyelamatkan diri selepas berjaya keluar dari kereta dipandunya yang terjunam ke dalam sungai.
Difahamkan, kejadian berlaku ketika Mohd Munir yang juga pembantu perubatan Hospital Sibu, bersama rakannya, Mahdi Sani, 28, yang terselamat dalam kejadian itu, dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Spaoh, Betong.
Pegawai Bomba dan Penyelamat Balai Saratok Kho Poo Jang berkata, kedua-dua mangsa yang dipercayai tidak mahir dengan jalan berkenaan menyangka jalan berkenaan lurus di hadapan lalu meneruskan pemanduan.
“Mereka terkejut apabila mendapati jalan itu sebenarnya jalan mati kerana ia menuju ke pangkalan feri. Mereka tidak sempat membrek menyebabkan kereta dinaiki terjunam ke dalam sungai.
“Bagaimanapun, kedua-dua lelaki itu berjaya keluar dari kereta dan berenang ke tebing untuk menyelamatkan diri, tetapi hanya Mahdi berjaya manakala Mohd Munir yang dipercayai tidak pandai berenang, hilang dibawa arus.
“Mahdi cuba menarik tangan rakannya itu untuk menyelamatkannya namun dia juga hampir lemas sebelum Mohd Munir hilang,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Katanya, lokasi kejadian tidak berlampu menyebabkan kedua-dua sahabat terbabit tidak menyedari jalan berkenaan sebenarnya menuju ke pangkalan feri.
Difahamkan, pangkalan feri itu diwujudkan bagi memudahkan penduduk berulang-alik dari Spaoh ke sini dengan operasi tamat pada jam 7 malam setiap hari.
Kho berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.53 pagi. Berikutan malam, operasi mencari dan menyelamat dimulakan jam 8 pagi ini (semalam) membabitkan tujuh anggota. “Dua bot penyelamat digunakan untuk mencari mangsa di sepanjang sungai namun sehingga jam 5 petang semalam, mangsa belum ditemui.
“Kami akan meneruskan operasi merangkumi beberapa kawasan selain berpandukan arus sungai sehingga mangsa ditemui,” katanya.
Sementara itu, jurucakap polis ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian itu.
0 comments:
Post a Comment