Syazwan nafi lari selepas kemalangan!!!
SYAZWAN mengakui yang Nabila sudah banyak kali menumpang keretanya.
======================================================
======================================================
KEMALANGAN yang membabitkan aktres Nabila Huda dengan anaknya, Keisha Laila, 4, yang menaiki kenderaan dipandu seorang 'pemandu misteri' pada Ahad lalu di Lebuh Raya Karak, tersebar dengan pantas.
Selain kisah kecederaan dua beranak itu, khalayak begitu ingin tahu tentang identiti pemandu pacuan empat roda Triton yang dilaporkan terbalik beberapa kali sewaktu kejadian.
Teka-teki pemandu tersebut bagaimanapun terjawab selepas dia sendiri memuat naik keadaan keretanya yang terbabit dalam kemalangan tersebut.
Lelaki itu rupa-rupanya pelakon Syazwan Zulkifli. Syazwan bagaimanapun gagal dihubungi sebaik kemalangan terjadi dan mengambil sikap berdiam diri daripada melawan semua tohmahan negatif terhadapnya.
Namun, selepas tiga hari kemalangan berlaku, Syazwan bercakap kepada Kosmo! secara eksklusif tentang insiden tersebut.
Kosmo!: Bagaimanakah keadaan Syazwan selepas kemalangan?
Alhamdulillah, saya okey tapi apa yang terjadi merupakan perkara yang paling menakutkan dalam hidup. Bagaimanapun, saya tidak pula berasa trauma impak kemalangan tersebut.
Pada waktu kejadian, saya hanya pentingkan keselamatan Nabila dan anaknya, Keisha, berbanding diri saya sendiri kerana saya bertanggungjawab membawa nyawa orang lain.
Boleh ceritakan semula bagaimana kemalangan tersebut berlaku?
Kami dalam perjalanan pulang daripada menjayakan promosi drama Jodoh Itu Milik Kita bersempena Astro Gempak di Kuantan, Pahang.
Sepatutnya kami pulang awal kerana Nabila mahu menghadiri acara MTV World Stage.
Perancangan kami, paling awal sampai ke Kuala Lumpur pada pukul 1.30 petang.
Namun, kami berdua punya sesi bersama peminat di sana dan terlajak hingga pukul 1 petang. Bagaimanapun, kami tidak terkejar-kejar untuk pulang kerana memang sudah terlambat.
Dalam perjalanan pulang, hujan lebat dan tidak nampak pandangan di hadapan, jadi saya tidak dapat memandu laju.
Bagaimanapun, sewaktu melepasi Tol Karak, secara tiba-tiba kereta menjadi hilang kawalan lalu terbabas serta terlanggar pembahagi jalan dan terus terbalik beberapa kali.
Bagaimanakah Syazwan selamatkan diri dan siapa pula yang membantu kalian dengan membawa ke Hospital Bentong?
Selepas kami kemalangan, saya beritahu kepada Nabila jangan risau tentang kereta dan barangannya kerana saya akan uruskan perkara tersebut kelak. Apa yang penting ialah Keisha. Kami bimbang jika dia mengalami kecederaan yang serius.
Dalam keadaan cemas sebegitu, saya tidak sempat membuat panggilan kepada sesiapa. Nasib kami baik apabila tiba-tiba ada orang yang datang membantu dan menasihatkan saya supaya menjaga barang berharga saya.
Ketika saya sibuk menguruskan tentang kemalangan itu, saya lihat Nabila telah pergi ke hospital bersama orang yang datang membantu. Pada mulanya mereka ke Hospital Karak, namun hospital itu tutup, lantas mereka terpaksa hantar ke Hospital Bentong dan mendapat rawatan di sana.
SYAZWAN menafikan tohmahan yang dia lari selepas kemalangan kerana memandu dalam keadaan berbahaya dan laju. Dia juga menafikan dakwaan bersikap biadap dengan bekas suami Nabila, Eddie serta mengaku begitu bimbang dengan keadaan Nabila dan anaknya, Keisha.
===========================================================
===========================================================
Bagaimanakah perasaan anda ketika ramai yang menuduh anda hanya pentingkan kereta dan bukan keadaan Nabila dan anaknya?
Apa yang paling saya risaukan ialah Keisha kerana dia masih kecil. Ada cerita yang kata tangannya patah atau sebagainya. Ada juga yang tuduh saya macam-macam sebagai contoh tidak pedulikan Keisha dan lebih pentingkan kereta. Saya bukanlah seorang yang tiada perasaan, tapi takkan pula saya mahu tunjukkan perasaan saya dalam laman sosial?
Saya sangat kecewa dan marah dengan tuduhan yang sedemikian. Perkara mahu terjadi, tiada siapa yang minta diri mereka terbabit dalam kemalangan.
Mereka tidak tahu apa yang terjadi tapi sibuk memberi pelbagai komen. Jika mahu tahu, kereta saya kini berada di Mentakab, Pahang dan saya belum lagi buat apa-apa tentangnya kerana saya masih risaukan Nabila dan Keisha.
Selepas kejadian, hampir semua pihak media mencari anda, malangnya telefon bimbit anda dimatikan. Mengapa anda berbuat begitu? Takut atas apa yang terjadi?
Saya tidak lari atau takut sama sekali. Sebaliknya, telefon bimbit saya telah hilang sewaktu kemalangan berlaku. Saya sangat terkilan kerana pada waktu kami dalam kesusahan begitu, ada yang datang dengan cara ingin membantu tetapi rupa-rupanya punya agenda mahu mencuri.
Bagaimana pula tentang dakwaan Eddie, bekas suami Nabila terhadap anda yang dianggap kurang sopan kerana tidak menegurnya sewaktu bertemu di hospital?
Saya memang tidak pernah jumpa Eddie, jika saya kenal, saya pasti akan menegurnya. Saya hanya kenal pada namanya dan hanya pernah tengok dalam gambar.
Saya sangat memahami keadaan Eddie, mungkin jika saya di tempatnya, saya akan bertindak demikian.
Walaupun saya tidak punya anak lagi tapi saya memang faham perasaan dia.
Sejujurnya, saya tidak salahkan dia. Saya memang betul-betul tidak perasan dia mana satu. Saya minta maaf dan selepas itu, saya ada buat panggilan kepadanya dan jelaskan serta selesaikan semuanya. Alhamdulillah, kini kami sudah berbaik.
Mengenai hubungan Syazwan dengan Nabila pula. Apabila Nabila menumpang kereta anda, timbul pula spekulasi tentang kononnya kalian bercinta. Boleh jelaskan?
Tidak, kami tidak bercinta tetapi memang hubungan kami baik. Malah, ini bukan kali pertama dia menumpang naik kereta saya, sudah banyak kali dan Alhamdulillah, tidak pernah terbabit dengan sebarang kemalangan.
Ada ambil cuti untuk berehat selepas kemalangan ini?
Tidak tapi saya memang ada masa beberapa hari cuti sebelum memulakan penggambaran. Sementara itu, bolehlah berehat. Saya rasa tiada apa-apa yang perlu diperiksa tentang diri saya. Tiada yang teruk, saya hanya risaukan Keisha.