Tidak menyangka masakan itu akan mengakibatkan keracunan makanan


Tanjung Dawai: “Memang kami masak secara gotong- royong pada hari perkahwinan Sabtu lalu dan memang terdapat dua stok ayam yang dihantar berasingan. Satu stok dihantar oleh pembekal sehari sebelum hari kenduri, manakala satu stok ayam lagi dimasak petang hari kenduri.
“Waktu kami masak memang nampak elok ayam tu. Saya pun makan ayam masak merah tu tapi tak ada apa-apa yang berlaku. Tidak tahu pula ayam itu dah busuk,” kata seorang lelaki berusia 30-an, yang enggan dikenali dan salah seorang ahli keluarga terdekat kepada pengantin perempuan.
Lelaki itu berkata, dia tidak pasti siapa yang memasak lauk ayam masak merah itu yang dikatakan menjadi punca kepada keracunan makanan kerana ketika itu, masing-masing sedang sibuk memasak pelbagai juadah tambahan lain.
Menurutnya, dia sendiri tidak menyangka masakan itu akan mengakibatkan keracunan makanan kepada individu lain kerana tiada sebarang tanda-tanda pelik pada ayam berkenaan ketika memasaknya, petang Sabtu lalu.
“Saya dengar ramai yang masih dirawat di hospital termasuk keluarga pengantin berkenaan.
“Apa yang saya tahu memang ada dua stok ayam yang dihantar secara berasingan, tetapi tidak pasti mana satu yang menjadi punca kepada kejadian ini,” katanya.
Sementara itu, seorang penduduk Kampung Huma, di sini yang ditemui, Rosnah Ahmad, 45, berkata, dia mula mengalami sakit perut dan muntah-muntah pada petang Sabtu lalu selepas menghadiri kenduri perkahwinan berkenaan di sebelah pagi.
Katanya, dia memang menikmati masakan ayam masak merah sewaktu majlis berkenaan, namun tidak mengesyaki sebarang yang pelik.
“Selepas pulang, perut saya memulas-mulas dan muntah. Hari ini (semalam), saya datang untuk mendapatkan pemeriksaan dan bimbang juga jika perkara tidak diingini berlaku.
Siti Sarah Mustofa, 32, dari Kampung Jawa, Batu Hampar, Yan, berkata, dia menghadiri majlis berkenaan bersama suami, ibu dan tiga orang anaknya.
“Kami pergi pada jam 3 petang dan ketika itu, saya lihat tetamu masih ramai. Saya kemudiannya duduk bersama ibu dan anak-anak untuk makan, manakala suami saya hanya duduk berbual dengan rakan-rakan lain.
“Suami saya tak mahu makan kerana tak ada selera katanya. Hanya saya dan anak-anak saja yang ambil sambal ayam, manakala ibu saya hanya makan gulai ikan talang,” katanya.
Menurutnya, anak keduanya, Mohd Rafiudin Abd Rahim, 9, mengadu sakit perut dan muntah menyebabkan mereka bergegas ke Hospital Yan untuk mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar, Ahad lalu.
Sementara itu, di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani, Romadi Romli, 38, berkata, empat anaknya Nurzulaika, 14, Aidil Irfan, 12, Mohd Alif, 8, dan Nurzakirah, 4, turut dirawat di wad HSAH kerana mengalami sakit perut dan cirit birit selepas makan di rumah kenduri berkenaan.

0 comments:

Post a Comment