Terkini: Mangsa keracunan makanan kenduri kahwin dibedah siasat

Jenazah Nurshazana dibawa untuk bedah siasat di bilik mayat HSB – Foto kredit Sinar Harian

ALOR SETAR – “Dia memang selera makan, tetapi dia suka makan satu jenis lauk saja setiap kali makan nasi. Jadi, masa kenduri pun, dia hanya makan nasi berlaukkan ayam masak merah,” demikian kata ibu mangsa, Ceh Norma Khalid lapor Sinar Harian.
Norma, 45, berkata, dia tidak menyangka sakit perut dialami anak bongsunya, Mohd Nor Rahmat Yusof, 11, selepas menikmati juadah berkenaan semasa menghadiri kenduri kahwin di Tanjung Dawai, Sungai Petani membawa kepada kematiannya.
“Anak saya juga tidak ada masalah perut sensitif. Sebelum ini, tidak pernah alami sakit perut selepas makan kenduri.
“Hanya, dia dan ayahnya yang menghadiri kenduri kenalannya pada Sabtu lalu itu. Jadi, mereka berdua sahaja yang sakit perut.
“Cuma Rahmat mengalami muntah dan cirit-birit teruk, manakala ayahnya biasa sahaja,” katanya kepada media di bilik mayat Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), dekat sini, semalam.
Menurut Norma, dia dan suami yang menetap di Kampung Singkir Laut, Yan tidak membawa mangsa ke hospital berdekatan lebih awal kerana tidak menyangka sakit perut dialami akan melarat sehingga membawa maut.
Bagaimanapun, apabila anak bongsu daripada lima beradik itu pengsan, barulah mereka mengesyaki keadaan mangsa serius lalu membawanya ke Hospital Yan untuk mendapatkan rawatan pagi semalam.
Bagaimanapun, doktor mengesahkan anak lelaki tunggal mereka sudah meninggal dunia ketika tiba di hospital kira-kira jam 1 petang.
Bapa mangsa, Yusof Ariffin, 50, yang masih bersedih mengenai kejadian yang menimpa anak mereka enggan memberi sebarang kenyataan kepada media.

Sementara itu, Hairul Azhar Harun, 33, yang juga sepupu kepada mangsa kedua, Nurshazana Mohd Rashid, 24, dari Kampung Tempoyak, Bedong berkata, mangsa pergi ke kenduri di Tanjung Dawai dua hari lebih awal berbanding ahli keluarganya.
Menurut Hairul Azhar, mangsa dipercayai berasa sakit perut sebaik sahaja pulang dari kenduri tersebut, malah sakitnya bertambah teruk pada hari Ahad sehingga dia enggan keluar dari biliknya.
“Sebenarnya, kami ingin bawa Shazana ke klinik pagi ini (semalam) untuk mendapatkan rawatan. Namun belum sempat berbuat apa-apa, mangsa ditemui pengsan dalam keadaan tertiarap di dalam biliknya sehinggalah disahkan meninggal dunia kira-kira 12.45 tengah hari,” katanya.
Selain mangsa, ibu tiri dan dua adiknya berusia lapan dan 10 tahun juga mengalami sakit perut selepas menghadiri kenduri terbabit, namun tidak serius kerana mereka semua hanya pergi ke kenduri pada Sabtu.
Hairul berkata, dia tidak tahu lauk apa yang dijamah mangsa kerana tidak menghadiri kenduri itu.
Difahamkan, jenazah Mohd Nor Rahmat akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Kampung Singkir Lauk, Yan, manakala jenazah Nurshazana pula akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tempoyak, Yan.


0 comments:

Post a Comment