Siasat aduan stesen radio persenda Islam
Kuala Lumpur: Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CMCF) akan menjalankan siasatan lanjut terhadap aduan pendengar sebuah stesen radio berbahasa Inggeris yang dikatakan mempersendakan Islam.
Pengarah Eksekutifnya, Mohd Mustaffa Fazil Mohd Abdan berkata, pendengar terbabit perlu membuat aduan secara bertulis kepada CMCF sama ada menerusi surat, borang aduan menerusi laman sesawang, www.cmcf.my atau emel.
“Pengadu perlu memberikan segala maklumat mengenai aduan yang ingin dibuat. Apabila aduan ini diterima, pihak kami akan terus menyiasat dan menghubungi stesen berkenaan,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Beliau mengulas mengenai aduan seorang pendengar yang hanya mahu dikenali sebagai Rais yang menghubungi Harian Metro semalam mendakwa DJ bukan Islam stesen radio swasta itu membincangkan topik mengenai Islam, bersama seorang panel jemputan yang juga bukan beragama Islam.
Menurut pendengar itu, pada petang Isnin lalu ketika memandu keretanya, dia tersentuh dengan topik yang dibincangkan penyampai radio dan panel itu yang secara terbuka membincang isu yang menyentuh sensitiviti masyarakat Islam, sedangkan mereka bukan orang yang layak untuk membincangkan perkara berkenaan.
Katanya, dia terpanggil untuk membuat aduan kepada Harian Metro kerana ini bukan kali pertama, DJ radio itu memberikan komen dan membincangkan perkara mengenai Islam secara terbuka, kerana sebelum ini pernah mendengar mengenainya.
“Mereka bukan individu yang layak untuk memberi komen terhadap isu membabitkan agama lain, apatah lagi ia dibincangkan secara terbuka menerusi siaran radio,” katanya.
Katanya, tindakan penyampai radio bersama seorang tetamu jemputan di studio ketika itu bersikap tidak adil tanpa menjemput individu layak seperti tokoh agama untuk berbicara lebih lanjut. “Apapun dia (penyampai radio) tidak berhak beri komen sebegitu dibimbangi memberi impak negatif pada pendengar bukan Islam. Jika mahu bincang topik agama, mereka perlu mengundang pakar yang lebih layak,” katanya.
Sementara itu, Mohd Mustaffa berkata, pihaknya akan minta penjelasan stesen radio dimaksudkan sebelum mengambil sebarang tindakan.
“CMCF tidak boleh menghukum tanpa siasatan termasuk menyiasat sama ada tetamu jemputan berkelayakan atau tidak untuk memberi komen,” katanya.
0 comments:
Post a Comment