ROZITA berjanji akan mengadakan sidang akhbar khas untuk mengumumkan tarikh pernikahannya
SUNGGUHPUN hanya majlis merisik, tiada unsur yang nampak kesederhanaan apabila bercakap tentang Rozita Che Wan. Sesuai dengan status populariti dirinya sendiri. Majlis tertutup di Carcosa Seri Negara,Kuala Lumpur pada Ahad lalu khabarnya hanya dihadiri keluarga terdekat sahaja. Che Ta tetap nampak anggun seperti biasa kala usianya melepasi usia 40 tahun dalam situasi serba mewah. Kepada wartawan Aida Rizma Kamaruddin, kata Che Ta dia memang tidak mengundang media ke majlis berkenaan atas alasan peribadi.
Kenapa perlu rahsiakan?
RCW: Ini bukan majlis rahsia. Cuma, saya tidak menjemput pihak wartawan. Itu sahaja. Saya fikir, majlis sebegini lebih sesuai dibincangkan sesama ahli keluarga sahaja, tanpa pihak luar. Lagi pula majlis saya berlangsung sama tarikh dengan majlis resepsi Fouziah Gous. Mestilah lebih ramai wartawan tertumpu ke sana.
Apa sebenarnya status Che Ta kini, tunangan Zain atau apa?
RCW: Majlis itu hanya majlis merisik, bukan majlis bertunang. Jadi, saya bukan tunangan orang lagi buat masa sekarang (ketawa).
Wow... merisik. Gayanya lebih hebat dari majlis bertunang, siap di Carcosa Seri Negara. Mesti mahalkan kos majlis?
RCW: (Ketawa) Baju saya ditaja, solekan pun ditaja. Jadi kami hanya keluarkan kos untuk tempat sahaja. Mungkin kurang dari RM10,000.
Apa yang dibincangkan dalam acara merisik tu? Mungkin sudah ada tarikh pernikahan?
RCW: Maaf, tiada apa yang boleh saya kongsi. Belum masanya. Kami sudah berjanji akan menjelaskan semuanya dalam sidang akhbar khas.
Bila?
Hmm... tak lama lagi.
Dulu kata sidang akhbar selepas sambutan Syawal, alih-alih merisik terus. Macamana tu?
RCW: Saya rasa, paling lewat bulan November ini. Zain akan terlibat dalam sebuah program realiti dan memerlukan dia berada di tiga buah negara tidak lama lagi. Jadi, kami terpaksa pastikan ada waktu yang betul-betul sesuai untuk mengadakan sidang akhbar tersebut.
Banyak yang puji cincin yang tersarung di tangan. Bertuah sungguh. Agak-agaknya, berapa sebenarnya harga cincin berlian tu?
RCW: Terima kasih! Cincin ini dari Habib Jewels tetapi bukan hasil tajaan. Harganya? Maaflah... Saya tidak boleh kongsi, rahsia peribadi hal macam ni. Kalau majlis persandingan nanti, Habib Jewels akan jadi penaja untuk barang kemas.
Majlis risik sahaja sudah begini hebat, macamana dengan majlis perkahwinan nanti ya. Mungkin berganda hebatnya?
RCW: Tidak tahu macam mana, tak boleh cakap sekarang. Apa kata kita tunggu sahaja tarikh itu nanti ya.
sumber-utusan
0 comments:
Post a Comment