Krisis penutupan sementara sebahagian operasi pentadbiran di Amerika Syarikat (AS)- Obama tangguh lawatan


Sepang: Krisis penutupan sementara sebahagian operasi pentadbiran di Amerika Syarikat (AS) memaksa Presidennya, Barrack Obama menangguhkan lawatan ke Malaysia yang dijadualkan pada 11 dan 12 Oktober ini.
Berita penundaan lawatan itu disampaikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam satu sidang media selepas melancarkan pembinaan Hangar Kedua Pusat Penyelenggaraan dan Baikpulih (MRO) Sepang Aircraft Engineering (SAE) dan pelancaran Kemudahan Perkhidmatan Pelanggan Airbus di sini, semalam.
Obama dijangka membuat kunjungan sulungnya ke Malaysia pada tarikh berkenaan selain dijadual menghadiri Sidang Kemuncak Keusahawanan Global Keempat (GES) 2013 di Kuala Lumpur pada 11 Oktober ini yang juga sebahagian daripada rangka lawatannya ke lima negara ASEAN.
Pada sidang media itu, Najib berkata, beliau menerima panggilan daripada Obama pagi semalam bagi memaklumkan penangguhan itu, malah Presiden AS itu turut menyatakan hasratnya untuk melawat Malaysia pada masa depan.
Menurutnya, beliau memahami masalah dihadapi oleh Obama yang terpaksa berdepan dengan masalah dalaman negara selain cabaran untuk menaikkan had maksimum hutang negara pada 17 Oktober ini.
“Dalam perbualan telefon itu, saya menyatakan kepada Obama bahawa saya faham mengenai keadaan domestik di AS sehingga tidak mengizinkan beliau untuk melakukan lawatan ke Malaysia selain mengelak kunjungan itu dipertikai masyarakat AS.
“Obama turut menghargai peranan dimainkan Malaysia dan juga hubungan dua hala Malaysia dan Amerika Syarikat buat masa ini,” katanya.

0 comments:

Post a Comment