1,000 penyokong Ngap Sayot merempuh pintu pagar Stadium Negeri



1,000 rempuh pagar stadium


Lebih 1,000 penyokong Ngap Sayot merempuh pintu pagar Stadium Negeri, di sini, semalam selepas kecewa kerana tiket perlawanan suku akhir kedua Piala Malaysia, Sarawak menentang Sime Darby malam ini tidak dijual.
Foto
Mereka sebelum itu menunggu di luar stadium sejak jam 8 pagi kerana menyangka penjualan tiket akan diadakan pada tengah hari selepas solat Jumaat.

Rupa-rupanya, perkara itu hanya khabar angin kerana 2,000 tiket untuk perlawanan malam ini sebenarnya sudah habis dijual di Wisma Hopoh kelmarin. Apabila petugas Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) mempamerkan kain rentang memaklumkan tiket sudah habis dijual, kira-kira jam 1.30 tengah hari, penyokong terbabit yang memenuhi perkarangan stadium mula bertindak agresif.

Foto


Mereka merempuh pagar sebelum memasuki stadium bagi menuntut penjelasan pengurusan FAS dan tidak menghiraukan arahan anggota polis yang menyuruh bersurai.

Sehingga jam 4 petang semalam, masih ada penyokong menunggu di stadium walaupun wakil FAS berulang kali memaklumkan tiket sudah habis dijual.

Seorang penyokong, Mohd Hilal Hanif, 23, berkata dia datang ke Stadium Negeri selepas diberitahu tiket perlawanan separuh akhir kedua itu akan dijual selepas waktu solat Jumaat.

Menurutnya, perkara itu menyebabkan peminat yang gagal mendapatkan tiket di Wisma Hopoh berpusu datang untuk membelinya di Stadium Negeri, tetapi hampa apabila mendapat tahu ia sekadar khabar angin saja.

“Kami bengang kerana sepatutnya wakil FAS memaklumkan mengenai kehabisan tiket lebih awal bukannya membiarkan kami menunggu sejak pagi,” katanya ketika ditemui Harian Metro, semalam.

Sementara itu, Presiden FAS Datuk Sudarsono Osman dalam kenyataannya, semalam mengesahkan tiket perlawanan membabitkan pasukan Sarawak dengan Sime Darby FC sudah habis dijual.

Katanya, FAS mengucapkan terima kasih kepada semua penyokong yang sudah membeli tiket dan memohon maaf kepada mereka yang gagal mendapatkan tiket.

0 comments:

Post a Comment