Lelaki berdepan hukuman gantung

DUNGUN – Seorang penganggur berdepan hukuman gantung mandatori setelah dia disyaki memiliki sejumlah dadah yang boleh dikaitkan dengan kesalahan terbabit.

Suspek, berusia 38 itu ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah yang menyerbu rumahnya, di Kampung Lembah, dekat sini, pagi semalam.

Ketika serbuan dilakukan, suspek yang turut mempunyai beberapa rekod jenayah lampau berkait dadah itu dikatakan sedang tidur di dalam bilik tidur rumahnya.

Pemeriksaan polis menemui sejumlah dadah pelbagai jenis dipercayai heroin, pil kuda serta syabu di tempat tidurnya.

Dia sebelum ini pernah beberapa kali ditahan polis kerana kesalahan sama dan hukuman dilalui ketika berada di sebalik bilik bertirai besi masih belum memberi pengajaran buatnya.

Suspek yang berasal dari Pulau Serai itu difahamkan pengedar utama kepada penagih berdekatan dan dia juga kini sedang menghadapi satu lagi perbicaraan di mahkamah terhadap dakwaan lain yang boleh disabitkan hukuman ke tali gantung.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Ahmad Zailani Yaacob mengesahkan kes terbabit dan suspek yang tidak bekerja itu kini disiasat mengikut seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh membawa hukuman gantung mandatori jika sabit kesalahan. – SH