kuasa saya lebih daripada 'Ayahanda'



Sungai Petani: Seorang pesalah juvana berusia 19 tahun yang terbabit dalam kegiatan jenayah kongsi gelap selama empat tahun sebelum ditahan polis dalam Op Cantas minggu lalu begitu menyesal dan mahu insaf di atas segala perbuatannya.
Pesalah terbabit yang hanya dikenali Abdul Ahmad dari Selangor yang baru seminggu dimasukkan ke Sekolah Integriti Sungai Petani antara 100 pelatih sekolah berkenaan yang menyertai program Hijrah Kasih II.
Dia yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) November depan, sudah insaf atas perbuatan yang pernah dilakukannya.
Menurut Abdul, dia ditahan sepasukan anggota polis pada 20 Ogos lalu kerana terbabit dengan kegiatan kongsi gelap dan selepas sehari ditahan, dia dihadapkan ke mahkamah dan dijatuhkan hukuman penjara selama tiga tahun lapan bulan di sekolah berkenaan.
Katanya, dia mula terbabit dengan kegiatan jenayah itu ketika berusia 15 tahun akibat terpengaruh dengan rakan selain mahu hidup mewah.
“Pada mulanya saya hanya membabitkan diri dengan kegiatan mesin judi, namun lama kelamaan mula berjinak dengan kumpulan kongsi gelap.
“Sejak masuk kumpulan kongsi gelap ini saya bertambah seronok kerana hidup mewah dan walaupun masih muda, kuasa saya lebih daripada Ayahanda (gelaran sebuah pertubuhan), malah semua orang kenal saya menyebabkan saya berasa megah,” katanya selepas Program Hijrah Kasih II di Sekolah Integriti Sungai Petani, di sini, semalam.
Sementara itu, Pengarah Pengurusan Banduan Jamaluddin Saad berkata, biarpun golongan pesalah juvana ini sedang menjalani hukuman di atas kesilapan mereka masa lalu, pelatih sekolah ini ditawarkan pembelajaran dengan harapan mereka berubah dan menjadi manusia yang berguna apabila keluar kelak.

0 comments:

Post a Comment