Pertama Kali Amar Asyraf Beraya Sebagai Suami



PETALING JAYA: Pelakon Amar Asyraf berasa teruja menyambut Hari Raya Aidilfitri kali ini sebagai seorang ketua keluarga.
Amar, 27, yang baru mendirikan rumah tangga pada 7 Jun lalu dengan wanita bernama Arna Salleh berkata, sambutan Syawal kali ini lebih bermakna buatnya.
"Kalau ketika bujang dulu sambutan ala kadar sahaja tiada apa yang membuatkan saya tidak sabar dan teruja untuk sambut raya.
"Tapi kali ini, saya sudah ada isteri dan kami sudah melakukan pelbagai persiapan. Hidup saya kini lebih teratur," katanya kepada mStar Online.
Bercerita tentang pengalaman raya, Amar yang berasal dari Melaka mengakui pernah terlibat dengan permainan meriam buluh bersama rakan-rakannya.
Amar dan isterinya
"Saya dulu, bila sudah besar baru tahu tentang permainan meriam buluh. Masa kecil-kecil ibu saya tidak bagi keluar bercampur dengan orang lain sangat.
"Bila sudah sekolah menengah dan mengenali rakan-rakan daripada kampung sebelah barulah saya belajar bermain meriam buluh. kiranya saya antara yang terlambat buat aktiviti ‘jahat’ ini," katanya.
Kata Amar ketika kecil ibunya lebih banyak menggalakkannya membaca buku-buku ilmiah.
"Saya suka baca buku tentang dunia dan dokumentari walaupun ketika itu saya masih terlalu kecil untuk tahu tentang dunia luar.
"Tapi ibu banyak beri pendedahan jika saya tidak tahu atau keliru, hidup saya hanya dengan buku bacaan ilmiah sahaja," katanya.
Sementara itu kata Amar, dia akan bercuti selama tiga minggu sebelum memulakan penggambaran drama terbarunya.
Dia dan isteri pulang beraya di Masjid Tanah Melaka serta kampung sebelah isteri di Bidor, Perak.