Pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ditahan polis

gambar hiasan

Kuala Lumpur: Empat lelaki termasuk seorang pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ditahan polis selepas menembak seekor kerbau dipercayai untuk dijual menjelang Aidilfitri dalam kejadian di Bukit Tagar, Hulu Selangor, kelmarin. 


Dalam kejadian jam 4 petang itu, empat suspek terbabit dikatakan leka memunggah daging kerbau yang sudah siap dilapah ke dalam dua kereta di kawasan hutan itu. 

“Perbuatan itu terbongkar selepas penduduk kampung mendengar bunyi tembakan, pantas memaklumkan kepada pemilik ternakan yang kemudian melaporkannya kepada polis. 


Difahamkan, lokasi itu memang dijadikan tempat mengumpul ternakan oleh pemiliknya hampir setiap hari. Tindakan empat suspek itu dipercayai untuk mengaut untung mudah dengan menjual daging kerbau di pasaran menjelang Aidilfitri tidak lama lagi berikutan permintaan tinggi umat Islam ketika itu. 

Ditahan lepas kejadian 

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Norel Azmi Yahaya Affandi, berkata keempat-empat suspek berusia 20 hingga 30-an termasuk pegawai SPRM berpangkat Penolong Pesuruhjaya itu ditangkap beberapa jam selepas kejadian. 

“Polis merampas tiga senapang, sebilah parang dan dua kereta yang digunakan untuk kegiatan itu dan merakam keterangan pemilik kerbau dan beberapa individu bagi membantu siasatan terutama motif empat suspek bertindak sedemikian. Semua suspek ditahan reman,” katanya. 
Tidak berkompromi 

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya, Pengurusan dan Profesionalisme SPRM, Datuk Zakaria Jaafar, berkata pihaknya tidak akan berkompromi dengan tingkah laku pegawai yang boleh menjejaskan reputasi suruhanjaya itu, sama ada ketika bertugas mahupun di luar waktu bertugas. 

“SPRM juga memandang serius sebarang bentuk tindakan dan perbuatan mana-mana pegawai yang menyalahi peraturan dan undang-undang negara," katanya dalam satu kenyataan semalam, sambil menambah pihaknya sudah mengambil tindakan secara dalaman terhadap pegawai berkenaan.-sumber berita harian