Ajaran meragukan-Seramai 25 lelaki ditahan




DAMANSARA - Sebuah surau di sini dijadikan tempat penginapan bagi sekumpulan yang dipercayai terlibat dalam ajaran meragukan dengan mengubahsuainya menjadi ‘bilik tidur’ sejak setahun lalu.

Serbuan dibuat Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), semalam ke atas surau berkenaan mendapati bahagian sisi dan belakang surau itu kelihatan berselerak dan dijadikan umpama bilik kecil untuk mereka tidur juga terdapat beberapa almari menyimpan pakaian.

Jais bertindak melakukan risikan hampir setahun atas laporan orang ramai yang pelik dengan keadaan itu.

Serbuan dilakukan ketika kumpulan berkenaan sedang leka mendengar ceramah yang disampaikan seorang yang dipercayai ketua mereka selepas solat Jumaat.


Bangun ambil wuduk

Ketika pegawai penguat kuasa Jais sedang melakukan penyiasatan dan meminta mereka memberi MyKad, beberapa ahli kumpulan itu bertindak bangun dan menyatakan hendak mengambil wuduk berikutan kehadiran wanita di dalam surau berkenaan.

Seramai 25 lelaki ditahan termasuk seorang warga asing didakwa terlibat ajaran meragukan dalam Operasi Khas Ajaran yang diketuai Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Jais, Sharom Maarof.

Seorang warga asing berusia 32 tahun yang ditahan mendakwa, dia datang ke situ untuk solat dan tidak tahu menahu mengenai ajaran kumpulan itu bagaimanapun turut diambil keterangan bagi membantu siasatan.


Kumpulan belum difatwakan
Sharom berkata, ajaran kumpulan berkenaan masih belum difatwakan dan serbuan mendapati sebahagian kawasan surau dijadikan kediaman mereka.

“Mereka yang ditahan disiasat di bawah Seksyen 119 atas dakwaan mengajar tanpa tauliah (Enakmen Pentadbiran Negeri Selangor 2003) dan Seksyen 7 Doktrin Palsu Enakmen Jenayah 1995.

“Ajaran kumpulan itu wujud unsur meragukan atau salah guna surau dan operasi bertujuan membanteras mereka.

“Kita juga dapati mereka ini menggunakan surau ini sebagai tempat kediaman mereka,” katanya ketika ditemui di lokasi serbuan, semalam.

Dipercayai katanya, antara aktiviti yang dikenal pasti dilakukan kumpulan itu mengandungi pengajian; zikir malam; tidak melaksanakan solat Jumaat atas alasan musafir dan tenaga pengajar tidak bertauliah.

“Dalam serbuan itu, kita turut merampas kitab yang dipercayai menjadi rujukan kumpulan berkenaan dan semua yang ditahan kemudian dibebas dengan ikat jamin,” katanya.

Tambahnya, ajaran ini dibawa dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kawalan Akidah dan mencapai persetujuan ia dipanjangkan kepada jawatankuasa fatwa.

Jelasnya, seramai 40 anggota Jais terlibat dalam operasi ini yang dilaksanakan selepas solat Jumaat, semalam.