Bayi nyaris maut ... tangan kirinya tersepit pada mesin pengadun kuih



Muar: Seorang bayi berusia 13 bulan nyaris maut apabila tangan kirinya tersepit pada mesin pengadun kuih di sebuah kilang di Taman Utama Bakri.Dalam kejadian jam 10.30 pagi, Mohd Uqshah Iman Ramli dipercayai bermain bersendirian berhampiran mesin pengadun yang berada di atas lantai.

Ketika kejadian, ibunya Maznah Osman, 37, yang juga pekerja kilang itu membancuh adunan kuih di kawasan berhampiran selepas berpesan kepada Mohd Uqshah supaya jangan menghampiri mesin.Maznah berkata, pada mulanya dia melihat Mohd Uqshah bermain jauh daripada mesin itu sebelum terdengar jeritan kuat disusuli tangisan anaknya.

“Saya bergegas mendapatkan Mohd Uqshah dan mendapati tangan kirinya tersepit pada mesin yang masih berputar.
“Badannya turut bergerak sama dengan mesin itu, ia mengakibatkan tangannya bengkak selain mulutnya berdarah akibat terhantuk.BOMBA mengambil masa 20 minit melepaskan tangan Mohd Uqshah yang tersepit.“Bagaimanapun, seorang pekerja segera menutup suis mesin,”katanya.Menurutnya, walaupun suis dimatikan, tangan kiri Mohd Uqshah yang tersepit di antara tempat meletak bekas tepung dan badan mesin gagal ditarik keluar.“Pengurusan kilang meminta bantuan bomba dan penyelamat, dan mereka terpaksa membuka skru untuk mengeluarkan bekas kuih itu terlebih dulu.“Selepas hampir 20 minit, akhirnya tangan Mohd Uqshah Iman dapat dikeluarkan,” katanya.Sementara itu, pemilik kilang Norhadidah Harun, 43, berkata, ketika kejadian dia di tingkat atas sebelum terdengar jeritan bayi.Katanya, mujur seorang pekerjanya pantas menutup suis mesin itu kerana jika sebaliknya, bayi berkenaan mungkin berdepan keadaan lebih buruk.“Mohd Uqshah Iman yang bengkak di tangan kiri serta mengalami pendarahan di mulut dibawa ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) Muar untuk rawatan,” katanya.